Shalom!
Banyak yang sudah biasa dengan "Altar Call", yang selalunya diadakan selepas khotbah atau semasa penyembahan. Namun, jangan sesekali kita salah ertikan maksudnya.
Terutama bagi anak-anak muda, remaja - banyak yang mudah terikut-ikut dalam hal ini. Misalnya sewaktu didoakan, ada yang benar-benar mengalami hadirat Tuhan sehingga mereka menangis keesakan, atau bersorak kegirangan, bahkan sehingga mereka rebah. Nah, melihat hal ini terjadi di sekeliling mereka, mulalah ada beberapa yang turut melakukan hal yang sama, bukan benar-benar mengalami hadirat Tuhan, melainkan untuk "menjadi sama" seperti rakan-rakan mereka yang lain. Ini yang kita anggap sebagai terintimidasi atau terikut-ikut. Pada saat inilah, para Pastor dan ushers perlu bertindak dengan berhati-hati. Seeloknya, selepas altar call dijalankan, semua yang telah didoakan atau mengalami hadirat itu ditanya atau diselidik. Contohnya, apakah pergumulan mereka? Apakah yang sudah dia rasakan? Apakah yang menyebabkan dia menangis/gembira? - Dengan itu, sekaligus gereja juga mempunyai rekod tentang kesaksian mereka. Sering kali selepas didoakan, ushers hanya akan membiarkan mereka sehingga mereka terbangun dan tidak mendekati mereka secara one-on-one. Sedangkan ada sesetengah dari mereka yang mungkin ingin berkongsi pengalaman atau pergumulan mereka.
Selain itu, salah satu sebab untuk kita bertanyakan mereka selepas mereka didoakan, disitu kita boleh menilai siapa yang benar-benar mengalami hadirat Tuhan, dan siapa yang hanya terdorong dan sekadar mengikut ritual itu. Jika didapati mereka bukan benar-benar mengalami hadirat Tuhan, maka haruslah Pastor atau para ushers untuk memberikan mereka dorongan kaunseling dan menjelaskan maksud altar call yang sebenar, supaya perkara ini tidak dianggap main-main.
Melihat pula pada mereka yang menikmati dan mengalami hadirat Tuhan, perlu juga diingatkan bahawa jika seseorang itu terlalu lama atau terlalu asyik, dia boleh saja kita gerakkan atau kita sedarkan. Jika kita melihat orang seperti itu, misalnya sewaktu ibadah umum. Jika dia mengambil masa terlalu lama untuk menikmati hadirat itu, berbicara dalam bahasa roh, menari-nari dan bersorak. Pertama, bagi orang-orang yang ada di tempat itu, apakah yang mereka rasakan? Pertama, terganggu dan kedua, perhatian mereka tertumpu kepada orang itu sahaja. Nah! Inilah yang kita khuatirkan.
Ingatkah anda tentang 9 buah roh yang disebut di dalam alkitab? Jika anda lupa, mari kita renungkan kembali. Ia ditulis di dalam Gal 5:22-23. Jadi apakah hubungan buah roh ini dengan altar call? Buah roh ini juga diertikan dalam 9 karunia roh.
Buah Roh - Karunia Roh
1. Kasih - Hikmat
2. Sukacita - Pengetahuan
3. Damai sejahtera - Iman
4. Kesabaran - Kesembuhan
5. Kemurahan - Mujizat
6. Kebaikan - Bernubuat
7. Kesetiaan - Membedakan roh
8. Kelemahlembutan - Bahasa roh
9. Penguasaan diri - Menafsirkan bahasa roh
Anda sudah boleh melihat konteks buah roh dan karunia roh dalam erti sebenar altar call. Seperti yang kita setujui, sememangnya mereka yang terlalu asyik semasa altar call mengalihkan tumpuan kita dari firman Tuhan kepada diri mereka. Inilah yang iblis inginkan! Iaitu tumpuan kita dialihkan dari firman Tuhan! Lihatlah kembali kepada buah roh dan karunia roh, Kesetiaan yang tahu untuk membedakan roh yang benar dan tidak benar. Jika kita terlalu asyik, maka iblis akan mengambil kesempatan untuk melakukan hal-hal yang jahat, bahkan sewaktu tumpuan kita dialihkan, iblis juga boleh merasuk ke dalam tubuh yang lain supaya mereka terikut-ikut untuk melakukan hal yang sama supaya lebih ramai tumpuan yang dialihkan daripada firman Tuhan. Maka ada sesetengah orang yang akan mula berfikiran negatif seperti, "Adakah dia benar-benar menikmati hadirat Tuhan atau saja ingin menunjuk-nunjuk?" Pemikiran seperti ini bahaya bukan? Maka selesailah pekerjaan iblis yang pertama, "mengalihkan tumpuan kita".
Dan lihat pula buah roh yang menyatakan tentang pengusaan diri. Ingatlah dalam walau apapun, Tuhan kita itu Tuhan yang sangat baik dan Dia punya penguasaan diri. Dalam hal altar call, kita harus tahu bahawa dalam berbicara dalam bahasa roh juga punya penguasaan diri. Jika kita leka dan terlalu menikmati karunia yang diberikan, itu bukanlah apa yang dinamakan penguasaan diri. Penguasaan diri itu tahu untuk menilai batas. Bila saatnya untuk bertindak, bertindaklah dengan penuh penguasaan diri. Dan bila masanya untuk berhenti, maka berhentilah. Jika anda punya iman yang besar, anda tidak akan terlalu leka untuk menikmati saat itu, kerna apa yang pasti, hadirat Tuhan itu selalu ada, bukan hanya pada masa tertentu. Oleh sebab itu, jika kita melihat keadaan yang mulai kurang menyenangkan, para ushers yang bertugas pada saat itu, jangan malu dan takut untuk mendekati mereka dan bawa mereka ke tempat yang tertutup seperti di dalam bilik. Jangan sesekali membiarkan keadaan itu berlarutan sehingga mengganggu ibadah atau aktiviti lain yang dijalankan. Kerna jika ia berlarutan, itu bukanlah dari Tuhan, kerna apa yang harus kita ingat, Tuhan kita punya penguasaan diri. Janganlah kita mudah terpedaya dengan perkara atau kejadian seperti ini. Iblis itu seperti pencuri yang akan mula mencuri di mana kita mula leka dan pada bila-bila masa sahaja. Dan pastinya bahkan semasa altar call, iblis ada untuk bertindak melalui orang-orang yang lemah. Waspadalah!
Sesungguhnya Tuhan kita punya kuasa melebihi segalanya. Ada saatnya di mana kita merasa bahawa Tuhan tidak mempercayakan kita dalam sesuatu hal. Dan kadang-kadang timbul pula rasa cemburu dan iri hati kerna kita berfikir, "saya sudah berdoa dengan bersungguh-sungguh, kenapa Tuhan tidak lakukan hal yang besar melalui saya? Kenapa seorang pembunuh dan pencuri Tuhan bawa untuk melihat Syurga, tetapi saya yang tetap taat tidak pernah sekalipun Dia membawa saya?" Ingatlah saudara-saudari, dalam alkitab ada tertulis, "Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya". Oleh kerna itu, percayalah dan teguhkanlah imanmu, kerna itu yang akan menjanjikan engkau masuk ke dalam kerajaan Allah.


